http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/DrMashitah/20080113114041/Article/indexp_html

DALAM soal jawab agama yang dikeluarkan sebelum ini, Datuk menjelaskan, suami ada hak ke atas harta pusaka milik isteri apabila isteri meninggal dunia, walaupun mereka baru bernikah.

Jika seorang wanita itu ada sedikit harta sebelum berkahwin (yang dicarinya sendiri) adakah suami juga ada hak terhadap harta milik isteri (bukan harta sepencarian) apabila mereka bercerai?

Bolehkah wanita merahsiakan harta miliknya (yang diperoleh ketika bujang) daripada pengetahuan suami?

Ini kerana ramai wanita sekarang memiliki pendidikan baik, bijak menabung, berkahwin lewat dan berpendapatan tinggi kerana bimbang jika diberitahu, lelaki mengahwini mereka kerana mahu menumpang kesenangan dimiliki.

AINA
Selayang, Selangor

Hukum faraid menentukan wanita yang mati meninggalkan suami, suami ada hak atas harta yang ditinggalkan sebanyak separuh jika tiada anak dan jika ada anak, haknya sebanyak satu perempat.

Penentuan sama ada harta itu diklasifikasikan sebagai harta sepencarian akan ditentukan mahkamah dengan melihat pelbagai aspek dan sudut yang adil bagi kedua-dua pihak.

Islam menentukan isteri boleh mendapat hak harta sepencarian suami, sedangkan harta seorang isteri yang diperoleh secara warisan atau hasil usaha sebelum perkahwinan tidak dikira sebagai harta sepencarian.

Ia adalah milik isteri. Apa pun perlu diingat, alam perkahwinan membawa erti perkongsian. Ia bukan sekadar kongsi rasa, rahsia dan harta, bahkan lebih daripada itu.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA