Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20080924235101/Article/index_html

Hak Muslim: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah
Jawapan oleh Tuan Musa Awang (Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM))
excopgsm-@yahoo.com

Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Soalan:
SAYA dan isteri bercerai pada Ogos lalu. Dua minggu selepas tarikh cerai, saya ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan sijil cerai. Saya ingin bernikah dengan wanita lain. Malangnya, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas bahawa saya juga perlu beridah seperti bekas isteri. Saya menjadi keliru dengan kenyataan itu. Adakah kaum lelaki juga perlu beridah? Setahu saya edah itu khusus untuk wanita atau isteri saja. Harap dapat penjelasan.

Hamba yang keliru,
Pulau Pinang.

Jawapan:
Sebelum menjawab kekeliruan saudara, kita fahami dulu definisi, kategori dan hikmah idah menurut syarak. Idah ialah tempoh masa menunggu bagi isteri yang diceraikan suami. Hikmah idah adalah untuk menentukan rahim isteri bersih daripada benih bekas suaminya.

Dalam perceraian talak raj’i, idah memberi peluang kedua-dua pihak berfikir semasak-masaknya, apakah perceraian yang berlaku itu memberi manfaat untuk mereka atau sebaliknya.

Idah terbahagi dua iaitu idah isteri yang kematian suami dan idah isteri bercerai hidup. Tempoh idah isteri yang kematian suami ialah jika isteri mengandung maka idahnya selepas melahirkan anak dan jika tidak mengandung, idahnya selama empat bulan sepuluh hari sama ada disetubuhi suami semasa hidup atau tidak.

Idah isteri yang bercerai hidup pula ialah jika mengandung maka idah tamat selepas kelahiran bayi dan jika tidak mengandung, edahnya ialah tiga kali suci bagi perempuan yang masih datang haid. Jika isteri yang diceraikan masih tidak disetubuhi maka tidak ada idah baginya.

Haram bagi suami bersetubuh dengan bekas isteri yang berada dalam tempoh idah raj’i, kecuali selepas berlaku rujuk. Ketika dalam tempoh idah, suami masih bertanggungjawab memberi nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian kepada bekas isteri.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika mereka itu mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu.” (Surah at- Thalaq, ayat 6)

Arahan Allah ini ditaqninkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan: “Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah isteri atau bekas isterinya.”

Balik kepada soalan saudara, secara umumnya memang idah khusus untuk isteri. Tetapi suami juga ada tempoh idah dalam keadaan berikut:

# Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj’i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh idah isteri yang ditalak itu.

# Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj’i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh idah talak raj’i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh idah talak raj’i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh idah isterinya tamat.

Nasihat saya, saudara sabarlah menunggu sehingga tempoh idah isteri tamat. Manalah tahu, Allah menampakkan hikmah dalam tempoh idah itu, Allah memberi petunjuk wanita itu tidak sesuai untuk saudara? Atau Allah bukakan hati saudara dan bekas isteri untuk kembali semula ke perkahwinan sebelumnya.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Mahkamah berhak arah bayar nafkah bekas isteri

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20080903212037/Article/index_html

Mahkamah berhak arah bayar nafkah bekas isteri
Hak Muslim

BOLEHKAH saya menuntut nafkah yang tidak diberi suami sepanjang tempoh perkahwinan, sedangkan kami sudah bercerai hampir setahun lalu? Bagaimanakah saya hendak membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami tidak memberikan nafkah.
Salmah,

Kajang, Selangor.

ASAL makna nafkah ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Nafkah daripada istilah syarak ialah semua perkara yang diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Dinamakan nafkah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan dengan tujuan mendapat keperluan itu.

Ijmak ulama mengatakan suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan syarat tertentu, berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Mengikut hukum syarak, nafkah isteri yang paling asas ialah tiga perkara iaitu makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya pukullah mereka dengan pukulan yang tidak terlalu menyakitkan (terlalu mendera). Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Prinsip asal, suami wajib memberi nafkah kepada isterinya, melainkan suami dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa isteri seorang yang nusyuz atau tidak menyerahkan dirinya untuk ‘istimta’.

Dalam bab nafkah, prinsip pembuktian yang dipakai adalah sama dengan kes lain iaitu: “Keterangan ditanggung oleh yang mendakwa (al-mudda’ie). Al-muddaie ialah sesiapa yang membuat dakwaan pada sesuatu perkara yang tidak muafakat dengan zahir atau asal. Zahir atau asal ialah asal nafkah tidak diberi atau tidak ada. Nafkah adalah suatu perkara yang mendatang. Kaedah fiqh berbunyi ‘asal pada perkara yang mendatang ialah tiada.’

Dalam kitab al-Asbah wa an-Nazair oleh Imam As-Sayuti ada menyebut pihak yang mendakwa ada memberikan nafkah adalah al-Mudda’ie. Merujuk kepada prinsip asal nafkah itu perkara yang tiada dan jika suami mendakwa ada memberi nafkah, maka bekas suami yang menanggung beban untuk membuktikan dia ada memberi nafkah kepada puan sepanjang perkahwinan itu.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Salam Ramadhan 2008

Uncategorized No Comments »

Moga kita mendapat berkat dari-Nya.

Amin.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA
WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login