Langkah menyiapkan diri sebelum bersara

Uncategorized 1 Comment »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ekonomi/20081030225844/Article/index_html

Langkah menyiapkan diri sebelum bersara

SAMA ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa yang penting ialah melengkapkan diri anda dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.

Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara? Tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga situasi unik seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda daripada segi kewangan sebelum bersara:

1.Tetapkan keperluan kewangan anda

Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara dianggarkan dalam lingkungan 75 peratus hingga 80 peratus keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak dan bayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung.

Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi lain yang membabitkan wang, anda perlu mengambil kira kos ini ketika membuat perancangan persaraan anda.

2. Menilai status semasa

Anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang KWSP atau pencen yang bakal anda terima.

3. Mengira wang yang diperlukan

Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri dari segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.

Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (kira-kira kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak tujuh peratus setahun. Justeru, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.

4. Berdisiplin dalam merancang kewangan

Elakkan daripada membuat pengeluaran wang simpanan persaraan sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.

Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya.

Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.

Artikel ini ditulis oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

tuntut nafkah diri dan anak

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20081029232932/Article/index_html

Wan Nor Azlin fail tuntut nafkah diri, anak

PETALING JAYA: Pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya suaminya membayar nafkah ke atas dirinya dan tiga anak mereka.

Wan Nor Azlin, 40, memfailkan tuntutan nafkah itu selepas suaminya, Mohd Yazli Yaacob, 38, yang juga seorang peguam, meninggalkan rumah tanpa memberikan wang belanja untuknya dan anak terutama membabitkan makan minum serta persekolahan mereka, sejak 10 Julai lalu.

Beliau ditemani peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan untuk memfailkan tuntutan itu.

Tarikh 18 November ini kemudian ditetapkan pegawai pejabat pendaftar untuk melakukan sulh’ (perbincangan) di antara Wan Nor Azlin dan suaminya di mahkamah berhubung tuntutan berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wan Nor Azlin selaku plaintif mendakwa Mohd Yazli (defendan) mengabaikan nafkah terhadap dirinya dan anak-anak dari segi makan, minum, pakaian, kelengkapan peribadi, perubatan, perbelanjaan rumah tangga dan anak.

Malah katanya, defendan juga tidak konsisten dalam memberikan nafkah untuk dirinya dan anak-anak sepanjang perkahwinan mereka sehingga beliau terpaksa menanggung sendiri segala perbelanjaan dan keperluan keluarga.

“Defendan sering meninggalkan saya dan anak-anak serta marah-marah apabila saya meminta wang daripadanya, selain memberi alasan beliau tidak mempunyai wang. Defendan juga sudah beberapa kali menghilangkan diri dengan meninggalkan rumah pada 2001 selama 40 hari, 2005 (dua tahun) dan terbaru sejak 10 Julai lalu.

“Akibatnya, saya terpaksa menggunakan wang simpanan dan meminta bantuan keluarga untuk menjelaskan hutang dan perbelanjaan seharian,” katanya dalam pernyataan itu.

Pemenang anugerah Aktres TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2001 itu turut mendakwa suaminya berhutang dengan ‘along’ tanpa pengetahuannya dan orang suruhan ‘along’ pernah datang ke rumah mereka di Damansara Indah Resort Homes untuk mencari defendan.

“Kami berada dalam bahaya kerana mereka mengugut untuk membunuh saya dan anak-anak jika hutang tidak dijelaskan. Walaupun perkara ini sudah disiarkan media, defendan tetap tidak pulang ke rumah untuk memikul tanggungjawabnya,” katanya.

Wan Nor Azlin mendakwa suaminya pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain dan beliau akan mengemukakan semua bukti berkaitan di mahkamah.

Katanya, defendan juga ada menghantar SMS kepadanya pada jam 6.32 petang, 27 Julai lalu, yang berbunyi: ‘Untuk masa depan anak-anak supaya I (saya) boleh bekerja dan mencari rezeki, I buat keputusan untuk berpisah dengan U (plaintif). U tak perlu minta pada I lagi nafkah kerana tak ada apa lagi untuk I beri. U tak perlu jumpa Datuk Ang, Datuk Abu dan sesiapa lagi yang I berniaga sebab I dah tak ada kena mengena lagi dengan U. I dah tak bekerja dan tak dapat menanggung U lagi. Harap U faham.’

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya suaminya membayar nafkah RM5,000 untuk perbelanjaan dirinya, perbelanjaan rumah tangga RM2,000, simpanan Amanah Saham Bumiputera RM1,000, caruman insurans setiap bulan RM500, ansuran rumah RM3,500 yang kini tertunggak RM122,892 dan ansuran kereta RM1,686.

Beliau juga menuntut bayaran penyelenggaraan dua rumah di Damansara Indah Resort Homes dan Damansara Impian pada setiap enam bulan sebanyak RM500, bayaran bil semasa RM500 setiap bulan serta kos dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pasangan itu bernikah pada 16 Oktober 2000 dan sepanjang perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Daniel Luqman, 8; Danny Iskandar, 7 serta Dania Camelia, 4 tahun.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Wan Nor Azlin berkata, sebagai suami, Mohd Yazli perlu bertanggungjawab dan tidak boleh meninggalkannya dan anak-anak begitu saja.

“Saya bukan barang, terutama anak-anak dan kasihan pada mereka yang masih bersekolah lagi. Macam manapun dia (Mohd Yazli) perlu keluar daripada persembunyiannya untuk menerima writ saman.

“Tujuan saya bawa perkara ini ke mahkamah bukannya untuk bercerai. Apa pun jadi saya tak nak bercerai dengannya kecuali itu yang diingininya, saya tidak tahu isi hati dia,” katanya.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Berterus terang jika mahu berpoligami

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Berterus terang jika mahu berpoligami

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

BERIKANLAH isteri hak ke atas apa yang sepatut menjadi haknya. Biarpun mungkin terdapat sedikit ‘kekurangan’ dan ‘tidak sempurna’ seperti wanita normal namun hak isteri mesti dihormati.

Itu antara pengajaran yang dapat dikupas dan menjadi renungan hasil penghakiman seorang Hakim Syarie di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor baru-baru ini. Hakim berkenaan membaca sepotong hadis yang bermaksud: “Di akhirat nanti ramai lelaki yang berjalan dalam keadaan bahu akan menjadi senget. Ia adalah akibat tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.”

Hakim memberi peringatan, di dunia ini jika berjalan dalam keadaan bahu senget kita tahulah bagaimana. Tetapi, jika di akhirat berjalan dalam keadaan sebegitu, tidaklah dapat digambarkan.

Beliau memetik hadis tersebut ketika memberi keputusan dalam permohonan seorang suami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk berpoligami.

Sebenarnya, jika melihat kepada fakta yang dibentangkan dalam prosiding itu, maka jelaslah permohonan itu bukanlah didorong oleh perasaan meluap-luap seorang suami untuk beristeri lagi. Ini kerana hakim tersebut, dalam penghakimannya ada mengimbas sedikit sebanyak fakta yang pernah dibentangkan di hadapan beliau.

Pemohon terpanggil memfailkan permohonan disebabkan faktor usianya yang semakin meningkat, namun belum mendapat rezeki memperoleh anak hasil darah daging sendiri.

Penantian berkat kesabaran pasangan menunggu kehadiran cahaya mata bukan sekadar setahun, dua. Malah menjangkau 13 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak putus asa berikhtiar pelbagai teknik termasuklah berubat secara tradisional dan perubatan moden. Apakan daya sehingga kini isterinya belum disahkan mengandung.

Memandangkan usia semakin meningkat, akhirnya suami mengambil keputusan berpoligami dengan seorang wanita berstatus anak dara. Lagipun pemohon menyatakan, tujuan utama perkahwinan untuk memastikan perkembangan manusia (melahirkan zuriat).

Keikhlasan suami untuk membahagikan kasih sayang antara isteri pertama dan bakal isteri jelas tergambar apabila beliau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Keterangan

Demi keadilan, semua saksi iaitu pemohon dan isteri pertamanya, serta bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri (bakal bapa mertua) tampil memberikan keterangan. Suami dalam keterangannya berjanji akan berlaku adil dalam semua hal dan tidak membeza- bezakan kasih sayang.

Pemohon yang mengusahakan bengkel membaiki bot dan memiliki perniagaan menyewa kenderaan iaitu lori dan bas, menyediakan tempat tinggal bakal isteri (kini tunangannya) di Selangor. Manakala isteri pertamanya akan terus tinggal di kediaman mereka sekarang.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, kemampuan pemohon, persetujuan diberikan dan fakta sokongan yang memerlukan dia beristeri lagi, akhirnya hakim berpuas hati dan membenarkan permohonan si pemohon untuk berpoligami.

Hakim turut mengingatkan pemohon bahawa mahkamah hanya memberikan kebenaran ntuk berpoligami dengan wanita yang namanya tertera dalam permohonan tersebut bukannya untuk berkahwin dengan wanita lain pula.

Pengertian sepotong hadis turut dibacakan kepada pemohon agar sentiasa menjadi pedoman sepanjang menjalani hidup berpoligami kelak. Terdapat perkara menarik yang dikupas dan diberikan penjelasan panjang lebar oleh hakim melalui hadis nabi tersebut. Ia mengenai hak atau giliran bermalam antara isteri. Sekiranya bakal isteri yang akan dinikahi itu berstatus anak dara maka giliran bermalam selama tujuh malam berturut-turut. Akan tetapi, jika bakal isteri ialah janda maka gilirannya, tiga malam sahaja. Namun tempoh tersebut hanya bagi peringkat awal perkahwinan, tegas hakim.

Beliau juga menyentuh tindakan pemohon mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami sebagai menghormati hak isterinya. Walaupun menyedari perlu membahagikan kasih sayang tetapi pemohon tetap sedar segala yang dilakukan perlulah mengikut kehendak peruntukan undang-undang.

Tetapi cuba fikirkan mengapakah ramai lelaki lebih rela bernikah secara senyap-senyap di negara jiran daripada menyatakan keinginan secara terus terang? Sedangkan, umum sudah mengetahui bahawa bernikah di negara jiran memang jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.

Peguam Syarie, Amli Embong yang pernah mengendalikan kes-kes permohonan untuk berpoligami, melihat tindakan pemohon berkenaan sebagai langkah yang terbaik bagi kedua belah pihak.

“Mesej yang dapat disampaikan, setiap lelaki yang berhasrat berpoligami sepatutnya menyerahkan permohonan tersebut kepada pihak yang berkuasa (mahkamah) untuk menentukan sama ada dia benar-benar layak untuk beristeri lebih daripada seorang. Perasaan isteri yang sedia ada juga dapat dielakkan daripada terguris. Jika dibandingkan antara permohonan itu dengan perkahwinan secara rahsia yang pada akhirnya diketahui, sudah pasti akan memberikan impak yang negatif,” jelas Amli.

Mengambil keputusan bernikah di sempadan dan merahsiakannya, seolah-olah menjadi ikut-ikutan sejak dahulu hingga kini. Amli bimbang perkahwinan di sempadan barangkali tidak sah kerana ia mungkin dikendalikan oleh juru nikah tidak bertauliah. Akhirnya, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang.

Selangor adalah antara negeri yang ketat meluluskan permohonan berpoligami jika dibandingkan dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Jika melihat Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ia menetapkan keperluan mendapatkan izin mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

“Jika seseorang lelaki mengemukakan permohonannya, dia mestilah memenuhi kriteria yang disebutkan dalam seksyen itu. Jika mahkamah selepas membuat pertimbangan yang maksimum dari segenap aspek, mendapati pemohon tidak layak berpoligami maka permohonan akan ditolak,” jelas Amli.

Pun begitu, andai kata mahkamah mendapati pemohon sesungguhnya memang layak dan memenuhi kriteria untuk berpoligami, sungguhpun isteri terdahulu tidak bersetuju, permohonan tersebut tetap diluluskan.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA
WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login