Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Wali bayar nafkah suami ingkar

SETIAP pasangan yang berumah tangga berharap akan dapat menikmati kebahagiaan serta mengekalkan kerukunan hidup sehingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, bukan semua yang diimpikan dalam hidup menjadi kenyataan. Bak kata pepatah, “Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.”

Adakalanya, krisis yang berlaku menyebabkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta tidak mampu lagi dipertahankan.

Yang menyedihkan, apabila berlaku perceraian, anak-anak menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi jika isteri tadi tidak bekerja.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. NOOR AMIN menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.

MEGA: Isu nafkah anak adalah polemik dalam kes pasangan yang bercerai. Apakah hak isteri dan anak dalam undang-undang?

NOOR AZIAH: Bagi wanita Islam, hak mereka terhadap nafkah dikawal oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri masing-masing. Bagi negeri Selangor enakmen itu ialah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang telah berkuat kuasa pada bulan September 2004.

Nafkah bermakna mengeluarkan belanja dan menurut istilah syarak ia bererti sesuatu yang dikeluarkan oleh seseorang untuk keperluan dirinya atau keluarganya dan lainnya, yang merupakan makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Ada beberapa sebab dalam Islam yang menyebabkan nafkah itu wajib iaitu:

a. perkahwinan yang sah;

b. kerabat;

c. milik.

Dari segi perkahwinan yang sah, hadis Nabi SAW ada menyebut: Dari Jabir r.a. dalam hadis menyebutkan soal perempuan, baginda bersabda: Dan hak bagi mereka, kewajipan atasmu memberi makan mereka dan pakaian mereka menurut yang bersesuaiannya. (riwayat Muslim)

Dari Aisyah r.a., ia berkata, tentang seorang perempuan yang tidak pernah diberikan nafkah oleh suaminya. Rasulullah SAW telah bersabda: Ambillah olehmu dari hartanya yang sesuai, iaitu sekadar mencukupi untuk belanjamu dan mencukupi pula untuk anak-anaknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi kerabat pula, ibu bapa mempunyai hak menerima nafkah daripada anaknya di bawah alasan kekerabatan. Hadis Nabi SAW menyatakan: Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: “Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu ia berkata: Ya Rasulullah, siapakah manusia yang lebih berhak menerima kebaikan sebagai sahabatku? Rasulullah SAW menjawab: “Ibumu”. Ia berkata: “Kemudian siapa?” Nabi menjawab: “Ibumu”. Kemudian siapa? Kata Nabi: “Ibumu”. Ia berkata lagi, “Kemudian itu siapa?” Nabi menjawab, “Bapa engkau.”

Nafkah wajib atas alasan pemilikan. Ini disokong oleh hadis Nabi SAW: Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Wang yang engkau belanjakan di jalan Allah dan wang yang engkau belanjakan untuk memerdekakan seorang hamba dan wang yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, serta wang yang engkau belanjakan untuk keperluan keluarga engkau, maka yang lebih besar pahalanya ialah wang yang engkau belanjakan untuk keluarga engkau. (riwayat Muslim).

Apakah kadar nafkah ke atas isteri?

NOOR AZIAH: Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah memberi nafkah itu wajib namun ia mengikut kemampuan orang yang memberi dan keperluan orang yang menerima.

Hak wanita terutama nafkah isteri diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Di bawah Enakmen 2003 bagi negeri Selangor, nafkah diletakkan di Bahagian VI.

Menurut enakmen ini, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya, tertakluk kepada hukum syarak.

Seorang isteri bukan saja berhak kepada nafkah semasa dia masih berkahwin dengan suaminya tetapi selepas dia diceraikan. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 66 di mana hak seorang isteri yang telah diceraikan untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu di bawah suatu perintah mahkamah akan tamat dengan tempoh idahnya atau jika dia, iaitu isteri menjadi nusyuz. Jika pasangan telah membuat perjanjian mengenai nafkah, hak tersebut akan tamat jika isteri berkahwin semula.

Bagi anak-anak yang beragama Islam, mereka berhak mendapat nafkah dari bapa mereka berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Hendaklah memberi nafkah orang yang empunya kelapangan dari kalangannya (orang yang kaya sesuai menurut kekayaannya). Dan sesiapa yang ditentukan rezekinya di atasnya, maka hendaklah ia memberikan nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati sesuatu diri melainkan menurut apa yang diberikan kepadanya. (at-Thalaq: 7)

Hak mendapat nafkah dalam Islam bergantung kepada kesahihan hubungan antara anak dengan bapa, iaitu bukti keibubapaan atau yang disebut sebagai parentage. Ini kerana hak-hak lain seperti hak nafkah, susuan, hadanah dan warisan timbul daripada pembuktian keibubapaan ini.

Pembuktian keibubapaan dilakukan melalui bapa dan ibu sebenar anak dan mestilah mereka ini telah melalui satu akad nikah yang sah di antara mereka.

Islam juga menggariskan penanggungan nafkah itu berasaskan konsep yang anak itu telah dikandung lebih dari enam bulan dari tarikh akad nikah ibu bapa anak itu.

Firman Allah yang bermaksud: Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf.. (al-Baqarah: 233)

Berlandaskan nas-nas di atas, bapa wajib menanggung nafkah anak dari sejak dalam kandungan lagi. Ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Berilah perempuan- perempuan yang telah diceraikan itu tempat kediaman, kira-kira setanding dengan tempat yang telah kamu diami menurut kesanggupanmu. Dan janganlah kamu susahkan mereka dengan sengaja hendak menyempitkan mereka. Dan apabila mereka sedang hamil maka berilah mereka nafkah hingga mereka melahirkan anak… (at-Thalaq: 6)”

Nafkah anak termasuk penyusuannya semasa ia masih kecil. Ini berasaskan ayat 233 dari surah al-Baqarah. Nafkah dalam hal penyusuan termasuk membeli susu formula atau mencarikan ibu susu dan membayar upah penyusuan kepada orang lain atau kepada isteri yang telah diceraikan jika dia yang menyusukan anak.

Apabila ibu bapa atau bapa mati, tugas siapakah memberi nafkah kepada anak-anak berkenaan?

NOOR AZIAH: Dalam situasi di mana ibu bapanya telah meninggal dunia semasa ia masih kecil atau ibu bapanya tiada, maka tanggungjawab penyusuan anak hendaklah diambil alih oleh para warisnya sama ada abang atau datuk (sebelah bapa).

Apa yang dimaksudkan di sini ialah wajib menanggung segala perbelanjaan keperluan penyusuan seperti mencari ibu susu dan membayar upah penyusuan.

Kerap berlaku suami ingkar terhadap perintah mahkamah mengenai nafkah anak-anak. Apakah peruntukan yang ada untuk mengatasi hal ini?

NOOR AZIAH: Kita ada undang- undang untuk menguatkuasakan perintah nafkah iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968, Akta 356 dan Akta Perintah Nafkah (Kemudahan Bagi Penguatkuasaan) 1949, (Akta 34). Akta ini terpakai kepada orang Islam.

Kedua-dua akta ini digubal kerana walaupun telah mendapat perintah nafkah suami didapati masih enggan membayar nafkah. Untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 4 Akta 263 akan mengambil masa, maka dengan itu isteri boleh, semasa membuat permohonan memohon untuk perintah potongan gaji dibuat.

Di bawah Akta 356 ini, suami mestilah seorang yang bekerja dan mempunyai ‘pendapatan’ dan dia juga mesti ada ‘majikan’ di mana perintah tersebut boleh dibuat terhadapnya.

Bagi isteri yang suaminya tidak mempunyai majikan, akta ini memperuntukkan bahawa nafkah boleh dibayar melalui mahkamah. Sesiapa yang melanggar perintah di bawah Seksyen 4 akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun.

Bagi mereka yang melanggar peruntukan Seksyen 13 mereka boleh dipenjara selama sebulan bagi setiap bulan yang mereka tidak membayar nafkah.

Akta 34 adalah untuk menguatkuasakan nafkah di negara lain yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia. Ini sangat berguna bagi pasangan yang berkahwin dengan rakyat asing yang kemudiannya melarikan diri ke negara asalnya untuk tidak membayar nafkah.

Namun keberkesanannya bergantung kepada berapa banyak negara yang bersetuju untuk menandatangani persetujuan bersama ini. Buat masa ini negara yang boleh dikuatkuasakan suatu perintah nafkah yang telah diperintahkan di mahkamah di Malaysia adalah: England, Wales, Ireland Utara, Brunei, Australia, Sri Lanka, Hong Kong, India, New Zealand, Pakistan, Singapura dan Afrika Selatan.

Mahkamah juga ada kuasa menyita dan melelong harta jika suami tidak mampu membayar nafkah tetapi ada harta yang boleh dijual. Mahkamah ada kuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap suami yang enggan hadir prosiding di mahkamah.

Sebenarnya perundangan ada tetapi pelaksanaannya yang lembap.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Suami tak layak warisi harta

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081022092002/Article/index_html

Suami tak layak warisi harta
SHAH ALAM: “Ada satu isu yang dibangkitkan iaitu sama ada seseorang dituduh membunuh dalam keadaan menghadapi gangguan mental dibenarkan untuk mewarisi harta,” kata peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Zainul Rijal yang mewakili Amanah Raya Berhad (ARB) selaku plaintif berkata demikian ketika membangkitkan isu dari segi hukum syarak sama ada bekas eksekutif Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, berhak sebagai penerima pusaka harta arwah isterinya, Faizah Arshad bernilai RM319,445.

Ini kerana ARB pada Februari lalu mengemukakan permohonan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sebaliknya, pihak plaintif memohon mahkamah mengeluarkan sijil perakuan harta (faraid) yang baru dengan mengeluarkan Muhamad Suhaimi selaku defendan pertama sebagai penerima pusaka harta arwah isterinya bernilai RM319,445.

Plaintif mendakwa si mati iaitu Faizah meninggal dunia pada 25 September 1995 dan sah di sisi hukum syarak, dia sebagai isteri Muhamad Suhaimi, tetapi kematiannya itu disebabkan tindakan Muhamad Suhaimi membunuhnya.

Ketika berhujah Zainul turut memaklumkan Arshad Shafiee, 80, (defendan kedua) yang juga bapa mentua Muhamad Suhaimi, mendapat hak untuk mentadbir harta atau ‘ad-litem’ terhadap tiga cucunya.

“Defendan kedua diperintahkan sebagai pentadbir harta Muhamad Fariz Muhamad Suhaimi (defendan keempat), Muhamad Syafiq Muhamad Suhaimi (defendan kelima) dan Sarah Muhamad Suhaimi (defendan keenam).

“Selepas meneliti pembelaan yang difailkan, kami dapati persoalan berkaitan fakta tidak timbul termasuk faktor kematian, anak-anak serta sijil faraid yang dikeluarkan terdahulu,” kata Zainul.

Pada prosiding itu, Zainul turut mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menetapkan dua tarikh berlainan bagi membolehkan pihaknya memfailkan hujah secara bertulis dan defendan lain mengemukakan hujah mereka.

“Saya cadangkan supaya plaintif diberikan tempoh untuk memfailkan hujah dan tempoh sebulan untuk semua defendan menjawab hujah berkenaan,” katanya.

Sebaik mengemukakan hujah, peguam Musa Awang yang mewakili Muhamad Suhaimi memohon mahkamah mengecualikan kehadiran anak guamnya daripada mendengar prosiding berkenaan.

Saarani menetapkan sebutan semula kes dan menetapkan semua defendan memfailkan hujah masing-masing pada 18 Disember ini.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Harta bukan matlamat hidup

Harta Sepencarian No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Harta bukan matlamat hidup

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

HARTA kekayaan di muka bumi adalah milik sementara dan bukan menjadi matlamat hidup umat Islam. - Gambar hiasan

Allah berfirman yang bermaksud : Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta-benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). (ali-‘Imran: 14)

SHEIKH Sya’rawi berkata: Tajuk yang datang dalam ayat mulia ini ialah pertembungan peperangan Islam yang Allah SWT jadikannya sebagai tanda berkekalan untuk menjelaskan kepada kita bahawa peperangan, keimanan memerlukan hanya kembali kepada Allah SWT dan memutuskan dari segala adab dan tabiat antaranya syahwat dunia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menceritakan kepada kita berkenaan dengan perhiasan kepada manusia dan kelazatan dengan mengikut susunan ujian dan fitnah yang paling banyak.”

ii. Al-Samarkandi berkata: “Syaitan yang menghiaskan sebagai ujian kepada orang yang beriman dengan cara was-was. Disebut dengan wanita dahulu kerana ia sebesar-besar fitnah yang berlaku sejak zaman Adam a.s hingga ke hari ini. Antara bentuk fitnah tersebut boleh memutuskan silaturrahim dan pergaduhan.

Ulama telah khilaf berkenaan dengan nilai qintar atau muqantarah:

- Mujahid berkata, jumlahnya 70 ribu dinar.
- Abu Hurairah berkata, 12 ribu uqiah.
- Muaz bin Jabal berkata, 1,200 uqiah. Ini juga pendapat Ibn Umar, Asim bin Abi al-Nujud dan al-Hasan.
- Sebahagian mereka berkata, sebanyak duit emas yang diletak dalam belulang lembu. Ini pendapat Abu Nadrah dan Abu Ubaidah.
- Al-Dhahaq berkata, harta yang banyak.
- Dikatakan jumlahnya 1,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 12,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 1,200 dinar. Ini adalah pendapat al-Hasan.
- Dikatakan jumlahnya 40,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 60,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 70,000 dinar. Ini pendapat Ibn Umar dan Mujahid.
- Dikatakan jumlahnya 80,000 dinar. Ini pendapat Said bin Musaiyib dan Qatadah.
- Jumlahnya 8,000 misqal seperti kata al-Suddi.
- Jumlahnya 7,000 dinar seperti kata Ata’
- Mengikut hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: satu qintar bersamaan 12,000 uqiah. Sedangkan riwayat yang lain menyebut sebanyak 12,000 uqiah.

iii. Ibn Jauzi berkata: “Semua yang disebut ini menjadi niat pada hamba untuk memakainya dan menjadi buruk akibat jika niatnya tidak baik.”

iv. Sheikh Sya’rawi berkata: “Apabila kita mengkaji ayat ini yang disebut berkenaan dengan kepelbagaian nikmat dari itu peperangan yang memerlukan perpisahan dengan keluarga hendaklah tidak menghalang oleh nafsu syahwat. Sehingga akhirnya orang yang beriman sejati mampu bersedekah pada jalan Allah SWT dan kudanya digunakan untuk berjihad pada jalan Allah SWT bagi meninggikan kalimahnya.”

v. Al-Maraghi berkata: “Kecintaan terhadap kaum wanita disebut dahulu daripada kecintaan terhadap anak-anak padahal perasaan rasa cinta terhadap wanita adakala tidak kekal, sedangkan perasaan cinta terhadap anak akan berkekalan kerana kecintaan terhadap anak tidak akan membawa sikap berlebih-lebihan sebagaimana rasa kecintaan terhadap mana-mana wanita.

“Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu untuk meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Ia mengandungi suatu hikmah yang tersendiri, sama ada pada manusia atau haiwan.”

vi. Hamka berkata: “Di sini terdapat tiga kata. Pertama Zuyyina, ertinya diperhiaskan. Maksudnya, segala barang yang diingini itu ada baiknya dan ada buruknya, tetapi apabila keinginan telah timbul, yang kelihatan hanya eloknya saja dan lupa akan buruk atau susahnya.

Kata kedua ialah Hubb, ertinya kesukaan atau cinta. Kata ketiga ialah Syahwat, iaitu keinginan-keinginan yang menimbulkan selera yang menarik nafsu buat empunya diri.

Maka disebutlah enam macam hal yang manusia sangat menyukainya kerana hendak mempunyai dan menguasainya sehingga yang nampak oleh manusia hanyalah keuntungannya saja.

vii. Al-Sonhadji berkata: “Manusia itu telah diciptakan oleh Allah SWT mempunyai watak atau tabiat semula jadi menyukai nafsu syahwat kepada enam perkara yang disebutkan dalam ayat ini. Segala kelazatan di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT, dibolehkan hamba-hamba-Nya menyukai untuk dikecapi dan dinikmati keinginannya dengan diberikan-Nya pula batasan halal haramnya.

Penulis melihat ayat ini sebagai sesuatu ujian Allah SWT kepada manusia untuk mujahadah al-nafsi dan membetulkan nawaitu dengan menganggap harta benda sebagai alat atau wasilah dan bukan matlamat atau ghayah.

Ia digunakan sebagai alat keperluan untuk mentaati dan mematuhi segala ajaran Allah SWT bagi mentahqiqkan matlamat penciptaannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang sejati dan khalifah Allah SWT di dunia ini.

Semoga kita menjadi manusia yang selamat dari godaan hawa nafsu dan syahwat.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA
WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login