Permohonan taklik perlu dua syarat utama
Harta Sepencarian 2 Comments »http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Agama/20070516230112/Article/
Hak Muslim: Permohonan taklik perlu dua syarat utama
SAYA memohon cerai daripada suami kerana beliau tidak pernah memberi nafkah zahir selama hampir dua tahun kami berkahwin. Kami tinggal berjauhan kerana tempat kerja berlainan. Saya memohon cerai namun suami tidak mahu menceraikan. Hakim meminta kami membawa wakil untuk jawatankuasa pendamai. Kenapa hakim berbuat demikian sedangkan saya mempunyai alasan kukuh untuk bercerai? Saya tidak mahu berdamai dengan suami kerana itu saya memohon cerai taklik. Adakah betul tindakan saya memohon taklik? Adakah saya perlu mendapatkan peguam walaupun alasan saya kukuh? Suami sudah tidak pulang ke rumah selama lapan bulan dan hampir dua tahun tidak memberi nafkah zahir. Saya mohon bantuan dan nasihat pihak tuan.
Zana,
Selangor Darul Ehsan.
Perceraian dalam Islam adalah dihalalkan tetapi amat dibenci oleh Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Taala ialah talak”.
Namun begitu, talak adalah salah satu kelonggaran yang Islam berikan ke atas umatnya jika rumah tangga dibina tidak membawa kebahagiaan seperti dikehendaki.
Mungkin wujudnya ketegangan dalam rumah tangga yang mana semakin hari semakin meruncing. Jika rumah tangga itu tetap diteruskan mungkin akan memberi kemudaratan kepada kedua belah pihak dan mungkin juga boleh menyebabkan berlakunya perkara dilarang Islam.
Justeru, apabila kedua pihak sudah tidak mampu lagi hidup bersama, talak adalah jalan keluar dibenarkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan mencukupkan (keperluan) masing-masing daripada limpah kurnia-Nya. Dan Allah amatlah luas limpah kurnia-Nya, lagi amat bijaksana.”(Surah An-Nisa’, ayat 130)
Melalui peruntukan undang-undang syariah serta amalan di mahkamah syariah pada hari ini, mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, ditetapkan bahawa tuntutan terhadap pembubaran perkahwinan itu boleh dibuat dengan beberapa cara.
Antaranya, pembubaran perkahwinan melalui kebenaran mahkamah (seksyen 47), tuntutan perceraian disebabkan oleh pertukaran agama (seksyen 46), perceraian secara khul’ atau tebus talak (seksyen 49), perceraian secara taklik atau janji (seksyen 50), perceraian dengan li’an (seksyen 51), perceraian melalui fasakh (seksyen 53) dan terakhir perceraian disebabkan oleh anggapan mati (seksyen 54).
Setiap daripada jenis perceraian itu hendaklah mempunyai dan memenuhi syarat tertentu di mahkamah bagi melayakkan setiap permohonan dipertimbangkan mahkamah.
Jika sesuatu permohonan pembubaran perkahwinan yang dibuat di mahkamah syariah tidak memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan maka kemungkinan besar permohonan itu akan ditolak dan pembubaran perkahwinan tidak akan berlaku.
Ini kerana sebelum menjatuhkan sesuatu perintah berkaitan pembubaran ikatan perkahwinan, hakim akan memastikan terdapat kelayakan sewajarnya sehingga membolehkan setiap perkahwinan itu dibubarkan.
Perkara sama berlaku terhadap kes puan. Melalui permohonan pertama menggunakan Seksyen 47 iaitu perceraian berdasarkan persetujuan bersama, hakim mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan kerana permohonan perceraian di mahkamah itu tidak dipersetujui suami.
Mengikut peruntukan Seksyen 47 (5), jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak itu, mahkamah hendaklah seberapa segera melantik satu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi pihak isteri, dan merujukkan kes kepada jawatankuasa itu.
Seksyen 47 (9) pula menyatakan, jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh lebih lama seperti dibenarkan mahkamah.
Melalui pembentukan jawatankuasa pendamai ini, pegawai yang dilantik akan menasihat kedua-dua pihak mengenai masalah rumah tangga mereka dan jika tiada jalan penyelesaian, maka pegawai berkenaan hendaklah menasihati suami supaya menceraikan isteri.
Namun, jika suami masih enggan berbuat demikian, mahkamah selalunya akan mencadangkan kepada pihak isteri atau pemohon supaya menukar permohonannya kepada cara pembubaran perkahwinan yang lain seperti yang puan lakukan.
Tindakan puan menukar permohonan kepada perceraian secara taklik tidak akan menjadi masalah jika permohonan memenuhi kriteria ditetapkan.
Seksyen 50 (1) menyebut, seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah menetapkan perceraian yang demikian berlaku.
Manakala, Seksyen 50 (2) menjelaskan, mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian dan jika berpuas hati bahawa perceraian itu sah mengikut hukum syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan yang diperakui kepada pendaftar yang berkenaan dan ketua pendaftar untuk didaftarkan.
Ini bermakna permohonan taklik yang puan buat hendaklah berdasarkan kepada dua syarat utama taklik seperti yang diperakui dalam surat perakuan taklik iaitu:
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa itu pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya……”.
Berdasarkan alasan atau salah satu alasan di atas maka puan berkelayakan membuat permohonan secara taklik.
Maka tindakan puan memohon perceraian secara taklik adalah betul berdasarkan kepada pengakuan puan.
Namun, beban pembuktian untuk membuktikan dakwaan puan terletak kepada puan untuk membuktikan suami benar-benar melakukan perkara itu atau cuai dalam melaksanakan tanggungjawab perkahwinan seperti tempoh disyaratkan.
Saksi yang adil harus dikemukakan ke mahkamah selain mendapat sokongan tambahan daripada dokumen yang menyokong keterangan puan dan saksi.
Adalah sebaiknya puan mendapatkan khidmat nasihat dan runding cara daripada peguam syarie bagi membantu di mahkamah terutamanya yang membabitkan prosedur pengendalian kes di mahkamah.
Ini kerana selain dapat membantu puan memahami prosiding tatacara kes di mahkamah, ia juga melancarkan urusan pengendalian kes puan.
Peguam syarie akan menjadi pemudah cara bagi pihak puan di mahkamah supaya kes dapat diselesaikan dengan lancar dan cepat.
Kami menyediakan perkhidmatan Deklarasi Harta Sepencarian. Emai kami di info[@]HartaSepencarian.com
Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA






Recent Comments