Faraid RM5.4 juta
Wasiat 1 Comment »http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/dd0004/Article/index_html
Faraid RM5.4 juta
Oleh Erywan Norshal
SHAH ALAM: Pertelingkahan berhubung harta bapa pelakon dan model, Sharmaine Farouk Ahmad Farouk yang bernilai lebih RM5.4 juta akhirnya selesai apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam membahagikannya secara faraid.
Hakim Syarie Muhammad Adib Husain membuat keputusan itu selepas mahkamah mendengar keterangan abang dan kakak kepada pelakon berkenaan iaitu Ahmad Rezal Farouk, 44, serta Serena Ahmad Farouk, 41, berhubung permohonan faraid yang dibuat Sharmaine, 38.
Dalam keputusan itu, Muhammad Adib akan membekalkan sijil faraid kepada pemohon bagaimanapun, tidak memaklumkan jumlah pembahagian harta terbabit.
Terdahulu, Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik, memberitahu mahkamah nenek dan datuknya sudah meninggal dunia.
“Bapa kepada arwah (datuk) meninggal dunia pada 1989 di Kuala Lumpur. Nenek saya pula meninggal dunia antara 1970 atau 1971. Saya tidak berapa kenal dengan nenek kerana saya baru berusia empat tahun waktu itu.
“Ibu saya, Suzan Amnah Farouk meninggal dunia pada 1992 dan selepas kematian ibu, arwah bapa berkahwin dengan Salmi Abd Hamid.
“Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak iaitu adik bongsu kami. Bagaimanapun, ibu tiri saya meninggal dunia pada 3 Jun 1998,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditanya peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Sharmaine.
Serena pula mengakui kepada mahkamah keterangan yang diberikan Ahmad Rezal adalah benar ketika ditanya Muhammad Adib.
Sharmaine tidak hadir ke mahkamah ketika kakak dan abangnya memberi keterangan pada prosiding semalam.
Selain pelakon filem Panggilan Pulau dan XX Ray itu, anak arwah yang lain dengan perkahwinan pertama ialah, Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, 44, Serena, 41 manakala Aimran Ambari, 13, adalah anak daripada perkahwinan kedua.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Sharmaine membuat permohonan itu selepas semua pihak akur mahu membahagikan harta secara faraid apabila lebih setahun berlaku pertelingkahan berhubung pengesahan pemberian harta (hibah).
Sharmaine memfailkan permohonan faraid pada 5 November tahun lalu bagi harta peninggalan membabitkan wang, hartanah, saham dan rumah yang bernilai lebih RM5.4 juta selepas arwah bapanya meninggal dunia 14 Disember 2005 akibat sakit jantung.
Sebelum ini, Ahmad Rezal tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah (pemberian ketika hidup atas dasar kasih sayang) dan mendakwa ia sengaja diada-adakan serta menuntut supaya harta berkenaan dibahagikan secara faraid.
Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA






Recent Comments