Harmonikan syariah, sivil

Uncategorized No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Harmonikan syariah, sivil

Oleh KHAIRUL ANWAR RAHMAT

BAYANGKAN situasi ini. Peguam bernama Ali, Ah Chong dan Muthu berhujah di depan hakim Ahmad, Ah Seng dan Samy. Kesemua pengamal undangundang ini meneliti fakta kes dan merujuk kepada semua sumber perundangan seperti Perlembagaan Negara dan Kanun Keseksaan.

Undang-undang lazim (common law iaitu diwarisi daripada penjajah British) yang lainnya turut disemak dan diperdebatkan. Namun demikian, walau apapun rumusan yang dicapai, kesemua mereka bersepakat untuk memastikan hujah yang disampai dan didengar sentiasa selari dengan prinsip al-Quran dan Hadis.

Apakah senario di atas mungkin berlaku? Apakah sistem perundangan Malaysia yang diwarisi daripada British mampu diubah? Mahukah kita melihat negara ini mempunyai sistem undang-undang tersendiri yang bebas, merdeka dan berdaulat? Bolehkah mahkamah sivil dan mahkamah syariah bergabung?

Jawapannya sudah jelas di depan mata. Ia diungkapkan secara bijaksana oleh tidak lain dan tidak bukan, oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad. Ketika membentangkan syarahannya di University Harvard baru-baru ini, beliau menyebut bahawa undang-undang lazim (common law) dan undang-undang syariah boleh diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Namun beliau pantas memberikan syarat. Katanya, ia akan dicapai dengan syarat ia diamalkan di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam (Malaysia melepasi syarat ini) dan melenyapkan sikap prejudis di kalangan pengamal undang-undang.

Hakikatnya, sistem kehakiman negara kita sudah lama dibelenggu dengan pelbagai dilema dan konflik. Percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan di kalangan ahli akademik, pengamal undang-undang dan para hakim tidak dapat dielakkan kerana sistem perundangan kita yang bercelaru hasil warisan penjajah British.

Antara akta yang berasaskan undang-undang Inggeris ialah Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah. Akta-akta ini adalah hasil pengkanunan prinsip Common Law Inggeris, iaitu segala kes yang diputuskan oleh mahkamah Inggeris akan dibawa masuk dalam sistem perundangan negara. Keadaan itu menguatkan lagi status undang-undang Inggeris berbanding undang-undang tempatan.

Apa yang merumitkan keadaan ialah apabila tercetusnya konflik untuk menentukan mahkamah mana yang akan membicarakan sesuatu kes apabila isu-isu yang dihujahkan terletak di bawah bidang kuasa kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Pertikaian juga sering berlaku apabila sesuatu kes melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah tetapi salah satu pihak yang membawa kes itu ke mahkamah bukanlah seorang yang beragama Islam. Oleh kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes yang melibatkan orang bukan Islam, timbullah masalah - mahkamah mana yang akan mendengar kes itu?

Situasi ini pernah berlaku dan akan terus berlaku dalam kes-kes yang melibatkan suami tidak bertanggungjawab. Ada suami yang tergamak mengisytiharkan dirinya keluar Islam (murtad) kerana tahu kaedah untuk mengelakkan diri daripada tertakluk kepada undang-undang syariah.

Dengan demikian, si suami akan berhujah bahawa mahkamah syariah tidak layak memerintahkannya untuk membayar nafkah edah isteri yang dicerainya itu. Justeru, terlepaslah dia daripada segala kewajipan terhadap bekas isteri dan bayaran nafkah terhadap anak-anak. Ini kerana mahkamah syariah tidak lagi mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya yang kini sudah pun keluar dari agama Islam.

Adakah ini bentuk kehakiman yang ingin kita pertahankan? Adakah selepas negara ini merdeka berpuluh-puluh tahun lamanya, kita hanya mampu berpeluk tubuh dan membiarkan semua konflik ini berterusan tanpa penghujungnya? Adakah rakyat bebas memperolok-olok undang-undang disebabkan oleh kepincangan (loopholes) sistem perundangan kita?

Menyedari perkara ini, Abdul Hamid telah menyarankan sesuatu yang mampu merubah wajah sistem kehakiman negara. Harapan beliau begitu jelas sekali, iaitu mahu melihat konflik ini diselesaikan segera. Jalan penyelesaiannya ialah dengan menggabungkan kedua-dua sistem mahkamah sivil dan syariah.

Jika ini dapat direalisasikan, kita bakal melihat hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan syariah, manakala peguam bukan Islam mampu berhujah mengenai isu yang melibatkan syariah. Pada masa yang sama, para hakim dan peguam yang berlatarbelakang pengajian syariah mampu mentafsir undang-undang perlembagaan dengan tepat.

Inilah yang dikatakan pengharmonian undang-undang sivil dan syariah. Proses ini boleh menjadi kenyataan kerana amalan perundangan pada masa ini sudah pun menampakkan ciri-ciri sedemikian.

Contoh yang paling jelas ialah undang-undang berkaitan perbankan Islam. Ketika ini, ramai pakar dari kalangan bukan Islam yang sudah lama menceburkan diri dalam bidang sistem kewangan dan takaful Islam.

Hasilnya, banyak produk yang berlandaskan syariah Islam diperkenalkan seperti akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit, takaful dan sukuk. Jika orang bukan Islam sudah mula menguasai cabang undang-undang syariah, petanda ke arah keharmonian undang-undang sivil sudah jelas menampakkan sinarnya.

Semua ini mestilah bermula dengan asas ilmu. Penggabungan sistem sivil dan syariah akan hanya menampakkan hasilnya jika semua pengamal undang-undang terus mempelajari, memahami dan ingin mengamalkan kedua-dua bidang-sivil dan syariah.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), misalnya, sudah lama merintis usaha ke arah pengharmonian undang-undang sivil dan syariah. Sukatan pelajaran bagi pelajar Kuliyyah Undang-Undang digubal dengan mantap untuk melengkapkan bakal hakim dan peguam yang terlatih dalam semua aspek perundangan.

Pendek kata, pelajar jurusan undang-undang perlu didedahkan dengan skop ilmu perundangan yang holistik dan universal. Prinsip keadilan sejagat menguasai segenap minda dan perlakuan. Perjuangan sebagai pegawai keadilan adalah yang lebih utama daripada menang bicara kes anak guam. Mencapai keadilan sebenar dapat diperolehi melalui usaha meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

Bagi tujuan ini, mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang undang-undang perlu bersikap terbuka dan berfikiran positif. Sudah tiba ketikanya, kita tidak lagi mengehadkan pengetahuan undang-undang kepada satu cabang sistem sahaja. Hakim mahkamah sivil mesti mendepani isu ini dengan berusaha memahami sistem perundangan syariah dengan lebih serius dan terperinci.

Peguam-peguam sivil yang bijaksana perlu terus menghormati undang-undang syariah. Manakala pengamal undang-undang syariah pula meneruskan usaha mendalami sistem perundangan sivil termasuk menyerapnya dalam amalan perundangan asalkan ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Apa yang lebih penting ialah maqasid (objektif) syariah dapat dicapai. Keharmonian undang-undang ialah matlamat kita.

Alangkah hebatnya jika semua peguam, mampu dan layak berhujah isu yang melibatkan undang-undang syariah dan sivil. Sudah tentulah tidak timbul lagi kes-kes tertunggak yang menimbun di mahkamah akibat pertikaian dan konflik yang mencengkam bidang kuasa siapa dan di mana.

Cadangan ini lahir daripada bekas penjawat tertinggi sistem kehakiman negara. Jika kita-penggubal dasar, ahli politik, pengamal undang-undang dan rakyat terbanyak tidak mahu mendengar saranan Ketua Hakim Negara, nasihat siapakah lagi yang harus kita dengar?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Dapat hak jaga anak

Uncategorized No Comments »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20081111103412/Article/index_html

Pelakon dapat hak jaga anak

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my

SHAH ALAM: Pelakon, Norish Karman, 34, memperoleh hak penjagaan terhadap tiga anaknya, manakala suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, bersetuju dengan hak lawatan terhadap anak mereka, selepas kedua-duanya melalui majlis sulh yang diadakan pagi semalam.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad, menetapkan 1 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk membolehkan satu perjanjian persetujuan dalam bentuk perintah diperoleh.

Terdahulu, peguam bela Norish, Akbardin Abdul Kader, memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak berjaya mencapai penyelesaian melalui majlis sulh yang berjalan pagi semalam.

Katanya, isu penjagaan dan nafkah sudah diselesaikan namun anak guamnya memohon supaya terma ringkas dalam bentuk satu perjanjian persetujuan dikeluarkan mahkamah itu sebagai perintah.

Hashimuddin yang tidak diwakili peguamnya semalam, berkata pihaknya sudah melampirkan wakalah membabitkan kes itu.

Bagaimanapun, Akbardin berkata, jika dikaji dokumen berkenaan, ia menyebut secara asas sedangkan perkara lebih terperinci seperti pendidikan, waktu lawatan, jangka masa, isu pasport anak dan sijil lahir tidak disebut.

“Kita perlu pastikan tidak ada perkara tertinggal supaya tidak ada masalah kelak.

“Perlu ada perintah supaya tidak ada masalah anak diambil pada waktu tidak sesuai dan tidak tahu bila dipulangkan,” katanya.

Abu Zaky berkata, jika perintah secara umum, satu tarikh diperlukan kerana perjanjian itu perlu dinyatakan secara khusus dan jelas.

“Mahkamah beri peluang, jika dokumen lengkap, baru boleh dijadikan perintah mahkamah.

“Apa yang dinyatakan oleh peguam adalah untuk memperincikan supaya persetujuan dicapai.

Menurut dokumen mahkamah, kedua-dua pasangan itu disahkan bercerai pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Mereka berkahwin pada 11 Januari 1998 dan didaftarkan di Perlis.

Hasil perkahwinan itu, Norish dan Hashimuddin memperoleh tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 9, Muhammad Hady Amieran, 5 dan Nur Hanyz Amanda, 4.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Menolak mitos pelaburan unit amanah

Uncategorized No Comments »

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ekonomi/20081108072112/Article/index_html

Menolak mitos pelaburan unit amanah

ADA beberapa salah anggap yang patut diketahui oleh pelabur saham amanah, termasuk tujuh mitos biasa dalam pelaburan unit saham berkenaan.

# Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pengagihan pendapatan dan pecahan unit hampir hendak diumumkan.

Tidak benar. Pecahan unit akan meningkatkan jumlah unit dalam dana terbabit. Contohnya, pelaburan anda dalam suatu dana berharga RM1 seunit dan anda melabur RM1,000 bagi 1,000 unit. Dana itu kemudian melaksanakan pecahan unit sebanyak satu unit bagi setiap satu unit yang anda miliki (pecahan unit satu-untuk-satu). Selepas itu, anda memiliki 2,000 unit. Bagaimanapun, unit tambahan itu tidak menaikkan nilai pelaburan anda kepada RM2,000. Nilainya kekal RM1,000 kerana unit tambahan itu sebenarnya mengurangkan nilai unit anda daripada RM1 kepada RM0.50 (RM1,000 dibahagi dengan 2,000 unit). Pengagihan pendapatan itu tidak akan menaikkan nilai unit anda kepada RM1.05. Justeru, melabur sebelum bayaran pengagihan pendapatan atau pecahan unit diumumkan bukanlah cara untuk mendapat keuntungan segera.

# Sentiasa pilih dana yang dahulunya memberikan anda pulangan tinggi.

Tidak benar. Prestasi lalu tidak menggambarkan prestasi masa akan datang. Pelabur tidak harus melihat kepada rekod prestasi lalu untuk meramalkan prospek akan datang. Kaji strategi pelaburan dan pengagihan aset dana terbabit untuk memantapkan keputusan pelaburan anda.

# Semua dana unit amanah sama.

Tidak benar. Terdapat pelbagai dana dengan kategori dan matlamat pelaburan yang berbeza-beza. Setiap satu mempunyai ciri dan elemen risiko yang berbeza. Pelabur mesti membaca prospektus dana untuk mempelajari dana terbabit dan harus menimbangkan untuk memilih dana yang sejajar dengan keperluan pelaburan dan profil risiko mereka.

# Pulangannya hanyalah berdasarkan pengagihan pendapatan.

Tidak benar. Pelabur boleh mengukur prestasi pelaburan mereka dalam unit amanah melalui pelbagai cara. Ia lazimnya meliputi pengiraan untung modal atau jumlah pengagihan pendapatan yang diterima daripada dana. Bagaimanapun, kaedah paling berkesan dalam mengukur prestasi ialah dengan memasukkan kedua-duanya sekali.

# Unit amanah ialah akaun simpanan dan bebas daripada risiko.

Tidak benar. Pelaburan dalam unit amanah tidak sama dengan menyimpan wang anda dalam akaun simpanan. Ini disebabkan pelaburan anda terdedah kepada risiko dan anda mungkin menanggung kerugian disebabkan oleh risiko terbabit.

# Percaya kepada hanya satu syarikat pengurusan.

Tidak benar. Bukan semua dana daripada syarikat pengurusan yang sama memberikan prestasi atau pulangan yang sama kerana dana itu mungkin mempunyai matlamat pelaburan yang berbeza dan kerana itu, mempunyai elemen risiko dan pendedahan yang berlainan. Bergantung kepada keadaan pasaran, setiap dana mempunyai prestasi berlainan walaupun syarikat pengurusan yang sama menguruskannya.

# Kata-kata ejen anda semuanya benar.

Tidak benar. Sentiasa semak apa saja yang dikatakan oleh ejen anda. Jika anda tidak jelas atau merasakan bahawa apa yang dikatakannya itu terlalu sukar untuk dipercayai, kemukakan seberapa banyak soalan yang anda mahu. Pada masa sama, buat kajian dan dapatkan sebanyak mana maklumat yang boleh untuk membantu anda membuat keputusan yang bermaklumat. Jangan melabur sehingga anda puas hati dengan maklumat yang diberikan kepada anda. Ingatlah bahawa anda yang sebenarnya bertanggungjawab ke atas keputusan pelaburan yang anda lakukan dan bukannya ejen anda.

Artikel ini disediakan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC). Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tip pelaburan bijak.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA
WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login