Pertanyaan pembahagian harta pusaka

Wasiat No Comments »

Pertanyaan: 

Nenek saya telah meninggal dunia (pada 1/2/2007). Nenek mempunyai harta (iaitu 4 ekar tanah). Nenek mempunyai 2 orang anak perempuan (tiada lelaki). Anak perempuan yang sulong telah meninggal dunia (tahun 1985)mempunyai 4 anak lelaki & 1 perempuan.Anak perempuan yang bongsu(ibu saya yang masih hidup)mempunyai 2 anak lelaki & 3 perempuan. Semua saudara kandung Nenek telah meninggal dunia. Bagaimana kah cara pembahagian harta nenek dan pecahannya mengikut faraid? Sekian terima kasih 

Penyelesaian:

Harta peninggalan dan waris yang nenek tinggalkan ialah:-       

1. 4 ekar tanah        2. 1 anak perempuan        2. 6 cucu lelaki dari anak perempuan        3. 4 cucu perempuan dari anak perempuan. 

Pembahagian mengikut hokum faraid seperti dibawah;  

 Waris                                                                   Bahagian         

1 anak perempuan  1/2  =  50%6

cucu lelaki dari anak perempuan  Baki =   6.25% Seorang

4 cucu perempuan dari anak perempuan  Baki =  3.125% Seorang 

*Cucu lelaki dan cucu perempuan mendapat baki  2:1

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Harta wasiat selepas bayar hutang

Wasiat No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Harta wasiat selepas bayar hutang

Islam menggalakkan umatnya bekerja keras mencari rezeki dan mengumpul kekayaan untuk keselesaan hidup. Ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian (keperluan dan bekalanmu) di dunia…(al-Qasas: 77)

Bagaimanapun, harta yang dikumpul itu adakalanya menjadi punca perseteruan di kalangan adik beradik. Ini kerap berlaku apabila para waris terlibat tidak memahami konsep wasiat dan faraid.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHAHARANI SAIBI menemu bual pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Prof. Madya Dr. Yusof Ramli bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah kepentingan wasiat dalam Islam?

DR. YUSOF: Wasiat adalah amalan yang digalakkan oleh Islam. Ia memberi ruang kepada seseorang memberi bantuan sebahagian daripada hartanya kepada mereka yang disayanginya.

Contohnya, si ‘A’ mahu memberi emak angkat yang memeliharanya sejak kecil sebahagian harta atau memberi kepada anak angkatnya yang tidak berhak mendapat pusaka.

Wasiat dari segi bahasa bermaksud menyampaikan. Dari segi syarak ia adalah berpesan tentang sesuatu kebaikan yang dilaksanakan sesudah seseorang itu meninggal dunia. Hukum berwasiat adalah sunat.

Umumnya, sebanyak-banyak wasiat yang dibenarkan oleh syarak ialah 1/3 daripada harta. Melainkan diizin oleh sekelian ahli waris untuk diberi lebih kepada salah seorang daripada mereka.

Contohnya, ada tiga beradik lelaki, maka disebabkan seorang daripada mereka itu cacat, maka wasiat kepadanya diberi lebih daripada 1/3. Hal ini boleh berlaku jika dua lagi adik beradiknya bersetuju. Bakinya iaitu 2/3 harta hendaklah diselesaikan mengikut hukum faraid.

Harta yang boleh diwasiatkan itu adalah selepas ditolak hutang piutang atau sebaliknya?

DR. YUSOF: Dalam kes begini, waris hendaklah menjelaskan hutang si mati terlebih dahulu sebelum boleh diwasiatkan. Ada seperkara lagi yang perlu diselesaikan iaitu urusan pengkebumian jenazah.

Contohnya, jika si mati mempunyai harta RM100,000 selepas ditolak hutang katakan hutang pinjaman rumah berbaki RM50,000. Maka, 1/3 daripada jumlah baki itu sahaja yang boleh diwasiat manakala selebihnya hendaklah dibahagikan mengikut faraid.

Apa yang penting untuk kita ingat adalah harta itu sebenarnya bukan milik mutlak kita. Allah telah tentukan kepada siapa ia akan diberi.

Bagi mereka yang kaya, apakah persiapan yang sepatutnya dibuat bagi mengelak berlakunya perebutan harta apabila kematiannya kelak?

DR. YUSOF: Orang yang banyak harta mempunyai banyak pilihan dalam mengurus harta mereka. Antaranya mereka boleh wakafkan sebahagian daripada harta tersebut. Ini adalah sedekah jariah yang manfaatnya akan diperolehi secara berpanjangan oleh si pewakaf. Harta yang diwakaf itu pula tidak dipindah milik kepada orang yang diberi. Biasanya ia melibatkan tanah, sekolah dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila mati anak Adam terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu wakaf atau sedekah yang berkekalan, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan ibu bapanya. (riwayat Muslim)

Boleh juga bagi seorang bapa yang kaya itu menghadiah atau hibah kepada anak-anaknya. Cuma Rasulullah SAW berpesan, kalau hendak menghibah harta kepada anak-anak lakukan secara adil. Konsep adil dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Contohnya, anak yang sihat dan berpendapatan tinggi mungkin diberikan sedikit harta berbanding anak yang cacat atau yang mempunyai tanggungan ramai. Dalam menilai adil ini perlu dilihat dan diperhalusi daripada pelbagai sudut.

Bagi yang banyak harta juga mereka tidak boleh membekukan harta tersebut seperti hanya menyimpan wang dalam peti besi. Ini dilarang oleh Islam di bawah kesalahan jenayah iaitu takzir. Selain kewajipan berzakat dan jika lebih daripada keperluan maka ia perlu dijadikan modal untuk menggerakkan ekonomi diri dan masyarakat.

Ada juga orang yang berharta tetapi amat kikir. Apakah pandangan Islam terhadap golongan ini?

DR. YUSOF: Sifat bakhil atau kedekut amat dilarang dalam Islam. Kedekut sampaikan tidak memberi harta kepada orang lain malah diri sendiripun takut nak menggunakannya.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari akhirat kelak. (ali-‘Imraan: 180)

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang lelaki yang berpakaian compang-camping menemui baginda. Lalu baginda bertanya adakah kamu sangat miskin, dia menjawab saya ada harta malah ada hamba pun. Lalu kata Nabi SAW, Allah lebih suka kalau yang diberi rahmat itu menunjukkan bahawa dia ada menerima kurniaan Allah.

Cuma, pada masa yang sama, Islam melarang kita membazir kerana membazir itu adalah saudara syaitan.

Apakah pula konsep ‘perwakilan’ dalam pengurusan harta si mati?

DR. YUSOF: Selalunya, semasa hayat kita, orang itu boleh berpesan kepada rakannya atau sesiapa untuk tolong uruskan hal seperti harta, persekolahan anak dan lain-lain sepanjang ketiadaan kita.

Bagi kes pesanan selepas kematian, ia dipanggil wisayah. Ini adalah pemberian amanah kepada seseorang atau institusi untuk menguruskan hal anak-anak, ibu bapa dan harta si mati yang ditulis dalam surat ikatan wasiat.

Pemegang amanah terikat melaksanakan kandungan wasiat itu jika ia tidak bercanggah dengan syarak.

Mereka yang khianat terhadap amanah ini berdepan dengan seksaan Allah. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang makan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (an-Nisaa’: 10)

Seperkara yang perlu diberi perhatian, segala urusan pusaka dan juga faraid itu sudah ditentukan oleh Allah. Sebab itu, kita perlu patuh dan reda dengan ketentuan itu.

Ini perlu difahami kerana sering timbul perselisihan disebabkan para waris tidak mahu mematuhi ketetapan Allah tentang hukum faraid di mana anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam ayat 7 surah an-Nisaa’.

Dalam satu hadis sahih, Rasulullah ada bersabda antara lainnya bermaksud, Sesungguhnya Allah tetap menentukan hak tiap-tiap waris. Maka dengan ketentuan itu, tidak ada hak wasiat bagi seorang ahli waris. Apakah huraian hadis ini?

DR. YUSOF: Tidak ada wasiat bagi waris sebab al-Quran telah tentukan hak kepada waris dalam harta pusaka.

Larangan ini hanya kepada waris yang berhak dapat pusaka. Bagi yang tidak dapat pusaka mereka boleh terima wasiat. Contoh, datuk. Kalau ayah kita masih ada maka datuk tadi tidak dapat pusaka. Tetapi dia boleh diberi wasiat untuk membantunya terutama jika datuk itu tadi yang mendidik dan membesarkan cucu berkenaan. Malah, Selangor juga sudah ada undang-undang di mana cucu yang kematian ayah ditentukan wasiat wajib baginya di bawah Enakmen Wasiat Selangor.

Bolehkah para waris putuskan untuk wakafkan seluruh harta si mati akibat perselisihan dan pergaduhan yang berlaku?

DR. YUSOF: Seorang ibu atau bapa itu ada rasa kasih sayang kepada anak-anak. Jadi kalau nak wakafkan semua harta itu agak keterlaluan. Malah Islam juga tidak mahu seseorang itu meninggalkan keluarga yang lemah sehingga terpaksa meminta-minta untuk meneruskan kehidupan.

Kalau hendak diwakafkan boleh bagi sebahagian, bukan kesemuanya. Namun, ulama fiqh berbeza pandangan dalam bab ini. Ada yang berpendapat, jika waris wakafkan harta itu maka manfaatnya adalah untuk si waris bukannya untuk ibu atau bapa tadi. Sebabnya harta itu sudah berpindah kepada ahli waris dan si mati tadi tidak berniat mewakafkan hartanya. (Ini pandangan Imam Hanafi) Kecuali dalam wasiat itu dinyatakan bahawa sekian-sekian hartanya hendaklah diwakafkan, maka si mati akan mendapat manfaat hasil wakaf itu tadi.

Sebab itu, wakaf yang terbaik adalah semasa kita masih hidup. Sudah tentu ia untuk diri kita, tiada pertikaian lagi.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA

Pengurusan harta pusaka penting

Harta Sepencarian, Wasiat No Comments »

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Pengurusan harta pusaka penting

Keluarga & Undang-Undang
www.sistersinislam.org.my

Soalan
Kakak saya memeluk Islam dan telah berkahwin 20 tahun yang lalu. Suaminya kini terlantar di hospital. Yang merunsingkan kakak saya ialah secara tiba-tiba ’saudara-mara’ suaminya muncul di hospital, tetapi kakak saya tidak pernah melihat mereka selama ini. Malah, kakaknya membawa seorang perempuan bersama dua anak kecil dan menyatakan bahawa mereka adalah anak-anak abang ipar saya. Tetapi dia bertegas mengatakan bahawa dia tidak pernah berkahwin sebelum ini. Kakak saya mengesyaki ini merupakan helah untuk membolot harta suaminya. Apakah cara pembahagian harta pusaka menurut undang-undang syariah? Bagaimana pula kakak saya boleh mempertahankan haknya?

Ava Roslan
Pulau Pinang

Jawapan
ABANG ipar saudari masih belum meninggal, oleh itu, hartanya belum menjadi harta pusaka. Maka, belum timbul persoalan pembahagian harta pusaka. Namun, untuk menjelaskan keadaan, sebagai isteri dia berhak terhadap satu perempat daripada harta pusaka suaminya, apabila suaminya meninggal nanti. Selebihnya akan dibahagikan kepada ibu bapa dan adik beradik suami, jika masih ada.

Pembahagian di atas adalah menurut sistem pembahagian faraid. Tetapi, umat Islam dibolehkan juga membuat wasiat, hibah ataupun wisoyah.

Bagi sebuah rumah yang berdaftar atas nama kakak saudari, rumah tersebut adalah milik sah kakak saudari. Oleh itu, tidak perlu risau tentang rumah itu direbut oleh keluarga suami kakak saudari. Begitu juga dengan harta yang lain. Hanya harta yang dimiliki oleh suami kakak saudari akan dibahagikan kepada warisnya yang sah.

Berikutan dengan masalah anak-anak suami kakak saudari yang baru muncul, perlu dibuktikan terlebih dahulu bahawa mereka adalah anak-anak daripada perkahwinannya yang sah.

Oleh itu, sijil nikah dan juga surat beranak yang asli diperlukan jika mereka menuntut harta kemudian hari.

Namun, selagi suami kakak saudari masih hidup, hartanya bukanlah harta pusaka, Menurut undang-undang, jika namanya berdaftar di atas geran hakmilik, maka dia merupakan pemilik harta yang sah. Oleh itu, kakak saudari dan suaminya masih sempat berbincang bagaimana cara pengurusan harta.

Kakak saudari dan suaminya bolehlah melantik peguam untuk membantu menguruskan apa yang perlu. Apa yang penting ialah dokumen hakmilik harta-harta yang berkenaan perlu ada bagi memudahkan proses pengurusan.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA
WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login