http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20081120003953/Article/index_html

Hak Muslim: Kes tuduhan isteri curang mesti dibuktikan
Soalan:
SUAMI mendakwa saya curang terhadapnya walaupun berkali-kali saya menafikannya. Dia masih tidak mempercayai saya sehingga dia sanggup memfailkan permohonan nusyuz di Mahkamah Syariah dan tarikh sebutannya pada Disember ini. Perlukah saya hadir? Saya khuatir sekiranya saya dikenakan tindakan nusyuz oleh mahkamah. Bolehkah suami saya membuktikan permohonannya itu?

Isteri Risau,
Pulau Indah,
Pelabuhan Klang.

Jawapan:
JIKA tidak bersalah, usahlah puan risau. Yang benar tetap benar walau dipertikaikan tetapi yang salah tetap salah walaupun di selindung. Apabila sesuatu kes dibawa ke depan hakim, adalah menjadi tanggungjawab hakim untuk mendengar keterangan dan hujah kedua-dua belah pihak.

Sebagai orang yang didakwa, puan mempunyai hak untuk mengemukakan pembelaan dan menyatakan pendirian puan sama ada bersetuju atau tidak terhadap dakwaan suami. Puan hendaklah hadir pada tarikh sebutan ditetapkan.

Hakim akan bertanya kepada puan sama ada setuju atau tidak dengan tuntutan suami. Jika tidak bersetuju, hakim akan menangguhkan kes ke tarikh lain bagi membolehkan puan memfailkan pembelaan atau melantik peguam syarie bagi mewakili puan.

Seseorang itu asalnya tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah. Di dalam kes ini, suami mendakwa puan curang dan ingin mensabitkan nusyuz terhadap puan, jadi suami bertanggungjawab membuktikan dakwaan itu. Beban membuktikan dakwaan itu adalah di atas bahu suami puan, iaitu beban untuk membuktikan kes dan beban untuk mengemukakan keterangan.

Perkara ini dijelaskan melalui satu tuntutan harta dibawa ke hadapan Rasulullah SAW, seperti diriwayatkan Alaqamah bin Wa-il bin Hujr daripada bapanya yang berkata, seperti dimuatkan di dalam Sunan At-Turmuzi, jilid 3, Matbaah Al-Babil Halabi, cet. 1, 1937, halaman 625 seperti berikut:

“Seorang lelaki dari Hadramaut dan seorang lelaki dari Kindah datang menemui Rasulullah SAW, lalu lelaki Hadramaut berkata, ‘Wahai Rasul, sesungguhnya lelaki ini (lelaki dari Kindah ini) mengambil tanah kepunyaan saya,” Kemudian lelaki dari Kindah membalas dengan berkata, “Tanah itu adalah kepunyaan saya dan dia tidak berhak ke atas tanah itu.”

Baginda bertanya kepada lelaki Hadramaut, “Adakah kamu mempunyai bukti?” Lelaki Hadramaut menjawab, “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda kepada lelaki Kindah, “Kamu mesti bersumpah.” Mendengar sabda Rasulullah SAW itu lantas lelaki Hadramaut berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya lelaki dari Kindah ini buruk perangainya; dia tidak bertanggungjawab atas perkara yang disumpahkannya dan dia juga tidak menjaga dirinya dari sesuatu perkara,” lalu Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tiada pilihan lain melainkan melalui cara sedemikian.”

Mengenai beban membuktikan kes, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, Seksyen 73 memperuntukkan :

(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberikan penghakiman mengenai apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.

(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan fakta, maka dikatakan beban membuktikan terletak pada orang itu.

Di dalam seksyen di atas, beban membuktikan fakta atau kes terletak ke atas pihak yang inginkan mahkamah memberi penghakiman ke atas apa-apa hak atau liabiliti mengikut fakta yang ditegaskan olehnya. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003, memberi pengertian ‘keterangan’ termasuk:

(a) bayyinah dan syahadah;

(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara fakta yang disiasat; pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;

(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah: dokumen sedemikian disebut keterangan dokumentar.

Takrifan `keterangan’ membezakan antara bayyinah dengan syahadah, dan ia tidaklah menolak jenis keterangan lain yang diterima Islam, seperti ikrar, yamin (sumpah), nukul ‘an yamin (enggan bersumpah selepas diminta bersumpah) dan lain-lain, kerana ia hanya menggunakan perkataan `termasuk’ yang memberi makna wujud banyak lagi jenis keterangan yang tidak disebut di dalam takrifan ini.

Peruntukan ini juga hanya menjelaskan dua cara memberikan keterangan iaitu keterangan lisan dan keterangan tulisan. Dengan menggunakan perkataan `termasuk’ ia tidak menolak cara ketiga yang diterima oleh Islam iaitu isyarat.

Suami puan perlu memberikan keterangan dan juga mengemukakan saksi yang boleh membantu beliau membuktikan keterangannya di mahkamah. Kenyataan saksi berdasarkan keterangan dengar cakap (syahadah at-tasammu’) tidak boleh diterima Mahkamah.

Seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 hanya menyebutkan tiga faktor yang menjadi efek nusyuz iaitu apabila isteri menjauhkan diri daripada suaminya; apabila isteri meninggalkan rumah (kelamin) tanpa persetujuan suami dan apabila isteri enggan berpindah bersama suami tanpa sebarang sebab yang sah mengikut hukum Syarak.

Tidak dinyatakan bahawa berlaku curang adalah sebahagian daripada perbuatan nusyuz menurut undang-undang. Maka adalah menjadi tanggungjawab suami membuktikan kepada mahkamah bahawa berlaku kecurangan dan kecurangan itu adalah sebahagian daripada perbuatan nusyuz menurut hukum Syarak.

Saya nasihatkan puan melantik peguam syarie untuk mewakili kes itu supaya kerisauan puan itu dapat dibendung.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA