http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Agama/20070719011701/Article/

Hak Muslim: Suami nafi lafaz cerai perlu sumpah syarie

PERKAHWINAN saya baru berusia tiga tahun. Saya bingung dengan status saya sebagai isteri kerana suami sudah melafazkan kata-kata cerai terhadap saya sebanyak dua kali. Pertama, “Jika kau kata benci aku dan jika kita bergaduh kau balik ke rumah ibu bapa kau, aku ceraikan kau dengan talak satu.” Lafaz kedua berbunyi, “Aku ceraikan kau jika kau balik ke rumah ibu bapa kau malam ini juga.” Tiada saksi mendengar lafaz cerai itu dan saya sudah melakukan perkara yang terkandung dalam lafaz cerai berkenaan. Suami pula menafikan lafaz cerai yang sudah dilafazkan. Apakah haram jika saya melakukan hubungan dengan suami dalam keadaan saya sendiri tidak tahu status saya dan jika saya hamil apakah status anak saya lahirkan. Bagaimana jika saya ingin memohon cerai fasakh terhadap suami saya.

Isteri Bingung
Kuala Lumpur

Terdapat dua lafaz cerai soreh (nyata) yang dilafazkan suami terhadap puan iaitu perkataan cerai dan talak, di mana lafaz cerai ia diikat dengan perkataan ‘jika’. Apabila wujud perkataan ‘jika’ atau ‘sekiranya’ dalam sesuatu lafaz cerai, bermakna cerai hanya jatuh apabila berlaku peristiwa menjadi sebab kepada jatuh sesuatu talak berdasarkan lafaz talak dilafazkan suami.

Perkara penting perlu diambil perhatian dalam menentukan jatuh atau tidak talak yang dilafazkan adalah:

# Sama ada perkahwinan sah menurut syarak

# Sama ada lafaz talak yang dilafazkan memenuhi rukun talak

# Sama ada peristiwa menjadi syarat kepada jatuhnya talak sudah berlaku.

Saya percaya perkahwinan puan bersama suami adalah perkahwinan yang sah menurut hukum syarak di manamahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan perceraian puan. Keadaan berbeza jika pernikahan tidak mengikut undang-undang dan hukum syarak di mana satu perintah pengesahan nikah perlu diperoleh terlebih dulu sebelum pengesahan lafaz cerai dipohon. Selalunya masalah ini akan dihadapi pasangan yang bernikah di sempadan.

Talak hanya akan jatuh jika memenuhi rukun talak iaitu orang yang melafazkan cerai, cerai ditujukan pada isteri, isteri, suami yang mempunyai kuasa cerai dan niat (bagi lafaz cerai tidak terang).

Jika suami menafikan lafaz cerai itu maka suami mesti sanggup bersumpah syarie di hadapan mahkamah dan lafaz sumpah syarie yang biasa diamalkan di mahkamah syariah adalah seperti berikut: Wa allahi, Wa billahi , Wa Tallahhi, aku menafikan lafaz cerai itu dan jika aku berdusta maka laknat Allah keatasku.”

Sebaliknya jika suami enggan bersumpah, maka sumpah syarie itu dikembalikan kepada isteri dan mahkamah akan memutuskan status perceraian berdasarkan sumpah syarie yang dilafazkan.

Perlu diingat, sesungguhnya sumpah syarie sangat berat kesan kepada orang yang bersumpah kerana orang yang berdusta dengan menggunakan nama Allah SWT pasti mendapat laknat.

Bagi menyelesaikan permasalahan puan, saya nasihatkan segera membuat permohonan pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah mengikut Seksyen 55A Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jika puan tinggal di Kuala Lumpur.

Berkaitan hukum suami isteri melakukan hubungan dalam masa belum diputuskan lafaz cerai jatuh atau tidak, bergantung kepada dua keadaan iaitu bilakah persetubuhan itu berlaku, adakah dalam masa edah atau selepas tamat tempoh edah.

Jika persetubuhan dalam masa edah (tiga kali suci), maka kedua suami isteri tidak boleh dihukum berzina sebaliknya perbuatan itu dianggap sebagai rujuk berdasarkan pendapat mazhab Hanafi walaupun suami tidak melafazkan perkataan rujuk kerana rujuk itu sah melalui dua cara iaitu perkataan atau perbuatan (bersama).

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA