http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm

Pembahagian harta sepencarian sebagai balasan pengorbanan isteri

SETELAH 25 tahun berkahwin,‘hadiah’ yang suami berikan atas kesetiaan dan pengorbanan saya adalah perceraian. Peritnya, Tuhan saja yang tahu. Tak usah cerita lagilah. Saya ingin meneruskan hidup saya kini. Saya tahu saya berhak ke atas harta sepencarian.

Apakah sebenarnya harta yang termasuk dalam harta sepencarian? Suami saya mempunyai saham dalam tiga buah syarikat. Semasa dia baru mula-mula berjinak-jinak dengan perniagaannya, dia minta saya berhenti kerja supaya dia dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan. Saya pun berhenti dan menjaga rumah tangga dan anak-anak kami seramai empat orang. Sebelum menjadi seorang suri rumah sepenuh masa, saya bekerja sebagai seorang setiausaha. Bolehkah saya meminta pampasan bayaran gaji daripadanya? Saya rasa saya patut mendapatnya kerana itu adalah pengorbanan saya untuk kebahagiaan rumah tangga kami, tetapi ia telah dipersia-siakan.

INAS FEROZ, Kuala Lumpur

Jawapan:

Harta sepencarian adalah suatu harta sama ada harta alih atau harta tidak alih yang diperoleh bersama oleh suami isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama ketika perkahwinan mereka masih berjalan dan berlangsung.

Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dapat dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.

Bentuk sumbangan harta sepencarian yang diperoleh kadang-kadang dalam bentuk sumbangan tidak langsung dan sumbangan langsung. Sumbangan langsung ialah suami dan isteri bekerja dan berusaha bersama bagi mendapat pemilikan harta itu. Sumbangan tidak langsung ialah setakat sumbangan menjaga dan menguruskan suami dan anak-anaknya di rumah dengan penuh tanggungjawab dan ketaatan. Ini juga menyenangkan hati suaminya dan memberi semangat dalam kerjaya suaminya sehingga memperoleh kejayaan.

Apabila seorang isteri tidak menyumbangkan harta kepada suaminya secara sumbangan langsung maka adalah menjadi suatu ketetapan undang-undang bahawa ia berhak mendapat harta sepencarian sekurang-kurangnya 1/3 bahagian.

Puan ada memberi sumbangan secara tak langsung sehingga suami puan telah mencapai kejayaan dalam perniagaan dan memperoleh harta-harta dalam beberapa buah syarikat.

Puan sentiasa bersama suami serta menjaga keselamatan keluarga dan mendidik anak-anak sehingga anak-anak membesar dan suami puan berjaya dalam perniagaan.

Saham-saham dalam ketiga-tiga syarikat milik suami puan itu boleh dikira sebagai harta sepencarian. Puan hendaklah menunjukkan kepada mahkamah bahawa suami puan memiliki saham tersebut dalam masa hayat perkahwinan.

Jika kita lihat kes Noraini Abdul Rashid lawan Hamzah Zainuddin [2005] 1 CLJ 464, Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan bahawa isterinya berhak ke atas saham-saham yang dimiliki oleh suaminya dalam beberapa syarikat. Ini kerana isteri dapat membuktikan bahawa saham-saham tersebut berjaya dibeli oleh suami dalam tempoh perkahwinan mereka. Mahkamah memberikan 1/3 daripada jumlah saham-saham tersebut oleh sebab isteri tidak bekerja. Oleh itu, sumbangan yang diberikan oleh isteri adalah sumbangan secara tidak langsung.

Mungkin kita seharusnya melihat kepada praktis di negara-negara muslim lain berkenaan dengan cara pembahagian harta sepencarian ini. Contoh terdekat ialah Singapura. Adalah menjadi satu ketetapan undang-undang bahawa walaupun isteri tidak bekerja, atas dasar sumbangan secara tidak langsung, isteri boleh mendapat bahagian sebanyak 30% - 50% dalam tuntutan harta sepencarian. Jika isteri menyumbang secara langsung dalam pemilikan harta sepencarian tersebut, dia malah boleh mendapat lebih daripada apa yang telah disumbangkannya.

Dalam konteks zaman sekarang, pada kebiasaannya isteri juga membantu meringankan beban kewangan suami dengan berkongsi membayar bil-bil, sewa atau bayaran bulanan rumah, duit belanja anak-anak. Malah, selalunya, suami tidak lagi memberi wang belanja yang merupakan nafkah wajib kepada isterinya. Oleh itu, mahkamah di Singapura mengambil kira perkara-perkara ini sebagai sumbangan isteri terhadap harta sepencarian.

Puan juga mempunyai hak untuk menuntut pampasan terhadap kehilangan gaji kerana ini merupakan satu pengorbanan daripada puan untuk kepentingan rumah tangga. Tindakan puan berhenti kerja pun atas permintaan suami puan.

Dalam kes Noraini Abdul Rashid lawan Hamzah Zainuddin, Mahkamah Tinggi Syariah membuat keputusan bahawa isteri berhak atas tuntutannya kepada kehilangan gaji. Isteri dalam kes ini berhenti kerja bukan atas kerelaan, tetapi kehendak suaminya. Mahkamah juga mengambil kira kenaikan gaji jika isteri terus bekerja dalam pengiraan pampasan kepada isteri.

Hak-hak kewangan yang diberikan kepada isteri yang diceraikan sebenarnya bertujuan untuk melindungi dan membantunya memulakan hidup baru yang penuh dengan cabaran. Setelah sekian lama hidup mengharapkan suami, tiba-tiba mereka terpaksa pula berdikari. Oleh itu, hak-hak kewangan ini tidak seharusnya dinafikan kepada isteri-isteri yang diceraikan. Malah hak-hak kewangan ini juga hendaklah melihat keadaan semasa yang semakin lama semakin meningkat tuntutan keperluannya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA