http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20081029232932/Article/index_html

Wan Nor Azlin fail tuntut nafkah diri, anak

PETALING JAYA: Pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya suaminya membayar nafkah ke atas dirinya dan tiga anak mereka.

Wan Nor Azlin, 40, memfailkan tuntutan nafkah itu selepas suaminya, Mohd Yazli Yaacob, 38, yang juga seorang peguam, meninggalkan rumah tanpa memberikan wang belanja untuknya dan anak terutama membabitkan makan minum serta persekolahan mereka, sejak 10 Julai lalu.

Beliau ditemani peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan untuk memfailkan tuntutan itu.

Tarikh 18 November ini kemudian ditetapkan pegawai pejabat pendaftar untuk melakukan sulh’ (perbincangan) di antara Wan Nor Azlin dan suaminya di mahkamah berhubung tuntutan berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wan Nor Azlin selaku plaintif mendakwa Mohd Yazli (defendan) mengabaikan nafkah terhadap dirinya dan anak-anak dari segi makan, minum, pakaian, kelengkapan peribadi, perubatan, perbelanjaan rumah tangga dan anak.

Malah katanya, defendan juga tidak konsisten dalam memberikan nafkah untuk dirinya dan anak-anak sepanjang perkahwinan mereka sehingga beliau terpaksa menanggung sendiri segala perbelanjaan dan keperluan keluarga.

“Defendan sering meninggalkan saya dan anak-anak serta marah-marah apabila saya meminta wang daripadanya, selain memberi alasan beliau tidak mempunyai wang. Defendan juga sudah beberapa kali menghilangkan diri dengan meninggalkan rumah pada 2001 selama 40 hari, 2005 (dua tahun) dan terbaru sejak 10 Julai lalu.

“Akibatnya, saya terpaksa menggunakan wang simpanan dan meminta bantuan keluarga untuk menjelaskan hutang dan perbelanjaan seharian,” katanya dalam pernyataan itu.

Pemenang anugerah Aktres TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2001 itu turut mendakwa suaminya berhutang dengan ‘along’ tanpa pengetahuannya dan orang suruhan ‘along’ pernah datang ke rumah mereka di Damansara Indah Resort Homes untuk mencari defendan.

“Kami berada dalam bahaya kerana mereka mengugut untuk membunuh saya dan anak-anak jika hutang tidak dijelaskan. Walaupun perkara ini sudah disiarkan media, defendan tetap tidak pulang ke rumah untuk memikul tanggungjawabnya,” katanya.

Wan Nor Azlin mendakwa suaminya pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain dan beliau akan mengemukakan semua bukti berkaitan di mahkamah.

Katanya, defendan juga ada menghantar SMS kepadanya pada jam 6.32 petang, 27 Julai lalu, yang berbunyi: ‘Untuk masa depan anak-anak supaya I (saya) boleh bekerja dan mencari rezeki, I buat keputusan untuk berpisah dengan U (plaintif). U tak perlu minta pada I lagi nafkah kerana tak ada apa lagi untuk I beri. U tak perlu jumpa Datuk Ang, Datuk Abu dan sesiapa lagi yang I berniaga sebab I dah tak ada kena mengena lagi dengan U. I dah tak bekerja dan tak dapat menanggung U lagi. Harap U faham.’

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya suaminya membayar nafkah RM5,000 untuk perbelanjaan dirinya, perbelanjaan rumah tangga RM2,000, simpanan Amanah Saham Bumiputera RM1,000, caruman insurans setiap bulan RM500, ansuran rumah RM3,500 yang kini tertunggak RM122,892 dan ansuran kereta RM1,686.

Beliau juga menuntut bayaran penyelenggaraan dua rumah di Damansara Indah Resort Homes dan Damansara Impian pada setiap enam bulan sebanyak RM500, bayaran bil semasa RM500 setiap bulan serta kos dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pasangan itu bernikah pada 16 Oktober 2000 dan sepanjang perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Daniel Luqman, 8; Danny Iskandar, 7 serta Dania Camelia, 4 tahun.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Wan Nor Azlin berkata, sebagai suami, Mohd Yazli perlu bertanggungjawab dan tidak boleh meninggalkannya dan anak-anak begitu saja.

“Saya bukan barang, terutama anak-anak dan kasihan pada mereka yang masih bersekolah lagi. Macam manapun dia (Mohd Yazli) perlu keluar daripada persembunyiannya untuk menerima writ saman.

“Tujuan saya bawa perkara ini ke mahkamah bukannya untuk bercerai. Apa pun jadi saya tak nak bercerai dengannya kecuali itu yang diingininya, saya tidak tahu isi hati dia,” katanya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA