http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20081111103412/Article/index_html

Pelakon dapat hak jaga anak

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my

SHAH ALAM: Pelakon, Norish Karman, 34, memperoleh hak penjagaan terhadap tiga anaknya, manakala suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, bersetuju dengan hak lawatan terhadap anak mereka, selepas kedua-duanya melalui majlis sulh yang diadakan pagi semalam.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad, menetapkan 1 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk membolehkan satu perjanjian persetujuan dalam bentuk perintah diperoleh.

Terdahulu, peguam bela Norish, Akbardin Abdul Kader, memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak berjaya mencapai penyelesaian melalui majlis sulh yang berjalan pagi semalam.

Katanya, isu penjagaan dan nafkah sudah diselesaikan namun anak guamnya memohon supaya terma ringkas dalam bentuk satu perjanjian persetujuan dikeluarkan mahkamah itu sebagai perintah.

Hashimuddin yang tidak diwakili peguamnya semalam, berkata pihaknya sudah melampirkan wakalah membabitkan kes itu.

Bagaimanapun, Akbardin berkata, jika dikaji dokumen berkenaan, ia menyebut secara asas sedangkan perkara lebih terperinci seperti pendidikan, waktu lawatan, jangka masa, isu pasport anak dan sijil lahir tidak disebut.

“Kita perlu pastikan tidak ada perkara tertinggal supaya tidak ada masalah kelak.

“Perlu ada perintah supaya tidak ada masalah anak diambil pada waktu tidak sesuai dan tidak tahu bila dipulangkan,” katanya.

Abu Zaky berkata, jika perintah secara umum, satu tarikh diperlukan kerana perjanjian itu perlu dinyatakan secara khusus dan jelas.

“Mahkamah beri peluang, jika dokumen lengkap, baru boleh dijadikan perintah mahkamah.

“Apa yang dinyatakan oleh peguam adalah untuk memperincikan supaya persetujuan dicapai.

Menurut dokumen mahkamah, kedua-dua pasangan itu disahkan bercerai pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Mereka berkahwin pada 11 Januari 1998 dan didaftarkan di Perlis.

Hasil perkahwinan itu, Norish dan Hashimuddin memperoleh tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 9, Muhammad Hady Amieran, 5 dan Nur Hanyz Amanda, 4.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA