http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Keluarga/20070705071017/Article/

Pembunuh nombor satu tidak wajar digeruni
Oleh Hidayah Mohammad

SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai wanita tampil membuat pengakuan menghidap barah payu dara yang dianggap pembunuh utama wanita di negara ini meskipun satu ketika dulu ia dianggap cukup memalukan sehingga ada yang lebih rela menanggung kesakitan daripada mendapatkan rawatan.

Inisiatif terbaik bagi mencegahnya ialah melakukan pemeriksaan awal di pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mengesan barah payu dara. Tindakan ini dapat mengelak daripada penyakit itu terus merebak sekali gus mampu menjamin kualiti hidup dan keluarga bahagia.

Bagaimanapun, sering kali juga wanita begitu bimbang sekiranya diminta melakukan pemeriksaan payu dara. Ada yang meluahkan rasa takut mereka sekiranya tiba-tiba dapat tahu menghidap barah payu dara dan risau sekiranya tidak boleh menerima hakikat atau kesannya.

Menyedari hakikat itu, Avon Cosmetics Malaysia Sdn Bhd (Avon) mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai projek termasuk kempen kesedaran selain memberi sokongan kepada wanita supaya melakukan pemeriksaan awal dan mendapatkan rawatan.

Presiden Avon Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, Mansoor Wan Abdullah, berkata tanggungjawab melaksanakan tugas kebajikan seperti sudah sebati dengan Avon. kerana setiap tahun Avon mengadakan pelbagai program kebajikan, mengumpul dana dan penjualan produk.

“Dengan aktiviti seperti ini, pihak kami berbesar hati sekiranya berjaya membantu mereka yang menghidap penyakit yang dikatakan pembunuh nombor satu wanita itu.

“Bagaimanapun, semua pihak perlu membantu kerana barah payu dara bukan saja masalah wanita. Ia turut memberi kesan besar kepada kehidupan kaum lelaki. Wanita adalah perangsang dalam kehidupan lelaki kerana wanita adalah ibu, isteri, adik, kakak, anak dan rakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bertemakan ‘Saving Lives Thru’ Early Detection’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Program anjuran Breast Cancer Welfare Association (BCWA) dengan sokongan Avon diadakan bagi mengumpul dana membantu wanita yang dikesan menghidap barah payu dara.

Majlis meriah itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Ng Yen Yen. Hadir sama, Penaung BCWA dan projek ‘Saving Lives Thru’ Early Detection’, Puan Sri Akmal Abdul Salam serta Duta Harapan yang juga penghidap barah payu dara dari Jepun, Haruko Nagayama.

Pada majlis itu, turut diadakan demonstrasi memasak hidangan seimbang oleh chef selebriti, Chef Wan.

Mansoor berkata, misi Avon tidak lari daripada landasan sebenar penubuhannya iaitu membantu meningkatkan tahap kehidupan wanita seluruh dunia. Maka, pihaknya memerlukan kerjasama seluruh masyarakat bagi membantu wanita yang menderita penyakit itu di negara ini mengecapi tahap kehidupan lebih baik.

“Avon akan terus komited dalam kempen kesedaran barah payu dara. Awal tahun ini Avon menganjurkan program `Kiss Goodbye to Breast Cancer’. Selain itu, Avon sudah menyumbang sejumlah RM1.5 juta melalui penerbitan risalah pendidikan untuk mengesan barah payu dara peringkat awal, melakukan pemeriksaan sendiri kesihatan payu dara, sumbangan peralatan berkaitan kepada hospital, program kesihatan serta penjagaan pesakit dan bekas pesakit barah payu dara,” katanya.

Dalam hubungan ini, wanita yang kini bebas daripada barah payu dara mampu menjadi model kepada wanita lain. Sehubungan itu, BCWA dengan kerjasama Avon akan mengadakan bengkel membabitkan penyakit berbahaya itu tidak lama lagi.

Bengkel berkenaan diadakan bagi membantu memberi keyakinan kepada peserta yang menghidap barah itu menempuh kehidupan lebih baik pada masa depan. Bukan itu saja, peserta turut dibekalkan dengan maklumat lengkap mengenai penyakit ini, langkah pencegahan, proses rawatan untuk peringkat awal dan panduan bagi menjalankan kehidupan tanpa diasingkan daripada keluarga serta masyarakat.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • Smarking
  • Reddit
  • feedmelinks
  • del.icio.us
  • LinkaGoGo
  • Shadows
  • Furl
  • YahooMyWeb

Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA